© Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Tulisan

Panduan UndiMsia! untuk pengundi baru: Bagaimana pilihan raya dijalankan di Malaysia

Oleh Khairil Zhafri & Ivan Chong Yi Ze
5 Ogos 2026

This guide is also available in English

Jika anda belum pernah mengundi sebelum ini, panduan ini akan membimbing anda melalui keseluruhan proses pilihan raya.

Pilihan raya di Malaysia tidak dijalankan mengikut kalendar tetap. Penggal parlimen dan dewan undangan negeri boleh berjalan untuk maksima lima tahun tetapi boleh dibubarkan lebih awal. Apabila ia berlaku, anda mungkin sudah menjadi pengundi. Pindaan perlembagaan 2019 telah menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan memperkenalkan pendaftaran pengundi automatik, jadi anda tidak perlu lagi mendaftar. Jika anda seorang warganegara dan anda berumur 18 tahun ke atas, anda sudah (atau tidak lama lagi akan) dimasukkan dalam daftar pemilih.

© Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Adakah saya sudah didaftarkan sebagai pengundi?

Di bawah perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas layak mengundi. Sejak Disember 2021, pendaftaran adalah automatik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanggilnya PPSA (pendaftaran pemilihan secara automatik). Di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR menerima status kewarganegaraan dan alamat kediaman anda terus daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tiada borang yang perlu diisi.

Menurut soalan-soalan lazim PPSA, ia boleh mengambil masa kira-kira 1.5 bulan dari hari lahir anda yang ke-18 sebelum nama anda diaktifkan sepenuhnya dalam daftar pemilih. Proses tersebut berjalan secara umummnya seperti ini:

  1. Anda mencapai umur 18 tahun. Anda kini memenuhi kelayakan umur dalam perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
  2. Kumpulan bulanan. SPR mengemas kini rekodnya setiap bulan. Setiap orang yang berumur 18 tahun pada, katakan, Ogos dikumpulkan ke dalam daftar pemilih tambahan (DPT) bulan tersebut pada awal September. 
  3. Pemerakuan. Kemudian, SPR memperaku dan mewartakan DPT tersebut. 

Jadi, jika anda mencapai umur 18 tahun sejurus sebelum pilihan raya diumumkan, terdapat kemungkinan anda tidak sempat menjadi pengundi berdaftar tepat pada masanya untuk mengundi. Semak status anda di laman web MySPR Semak dengan nombor MyKad anda untuk kepastian. Jika anda menetap di luar negara, anda mungkin layak memohon untuk mengundi melalui pos.

Kawasan pilihan raya anda diberikan berdasarkan alamat pada MyKad anda, mengikut perkara 119(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan peraturan 12 mengenai pendaftaran pemilih. Jika anda telah berpindah, kemas kini alamat anda dengan JPN terlebih dahulu. Hanya selepas itu anda boleh memohon melalui Borang A untuk SPR menetapkan semula kawasan. Jika tidak, anda akan mengundi di kawasan mana sahaja yang dinyatakan dalam MyKad sebagai tempat tinggal.

Untuk apakah sebenarnya saya undi?

Sebagai rakyat Malaysia anda memilih kerajaan di dua peringkat. Di peringkat persekutuan, anda memilih ahli parlimen (members of parliament, MP) yang bersidang di Dewan Rakyat dan boleh menentukan siapa yang menjadi perdana menteri. Seseorang MP juga kemudiannya boleh dilantik menjadi menteri kabinet. Di peringkat negeri, anda memilih ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang bersidang di dewan undangan negeri (DUN) dan boleh menentukan siapa yang menjadi menteri besar atau ketua menteri. Sebilangan ADUN yang dipilih kemudiannya akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (executive council, EXCO). MP dan ADUN bertanggungjawab menggubal undang-undang di samping membahaskan dasar-dasar kerajaan di peringkat masing-masing.

Setiap peringkat mempunyai pilihan rayanya sendiri. Pilihan raya umum (PRU) untuk parlimen, pilihan raya negeri (PRN) untuk DUN, dan pilihan raya kecil (PRK) untuk mengisi satu kerusi kosong. Di sesebuah negeri, PRN boleh berlaku secara serentak dengan PRU yang mana anda akan membuang dua undi sekali gus, satu untuk setiap peringkat. Oleh kerana DUN boleh dibubarkan mengikut jadualnya sendiri, di sesetengah negeri, PRN bejalan secara berasingan daripada PRU.

Terdapat satu kaveat jika anda berdaftar sebagai pengundi di Wilayah Persekutuan. Pengundi in Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan hanya akan mengundi untuk kerusi parlimen kerana mereka tidak mempunyai DUN.

Satu perkara yang anda tidak akan dapat buat masa ini ialah undi ketiga, untuk majlis tempatan anda. Sehingga tahun 1965, rakyat Malaysia juga memilih kerajaan tempatan mereka, tetapi pilihan raya tempatan telah digantung semasa tempoh darurat ekoran Konfrontasi Indonesia-Malaysia dan secara efektifnya dimansuhkan oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Lokaliti mana yang mengundi untuk kerusi mana adalah diputuskan oleh SPR melalui proses yang dipanggil persempadanan semula di bawah perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan. SPR boleh mula menyemak peta pilihan raya pada selang masa tidak kurang daripada lapan tahun. Persempadanan semula terbaharu telah selesai pada Mac 2018.

Foto oleh Rosnita Mahmud, Getty Images

Bagaimanakah pilihan raya sebenarnya bermula?

Pilihan raya mesti dijalankan dalam tempoh 60 hari dari pembubaran parlimen atau DUN (atau terdapat kekosongan di salah satu kerusinya yang mencetuskan PRK). Untuk memulakan proses ini secara rasmi, SPR mengeluarkan writ pilihan raya kepada pegawai pengurus (returning officer, RO) di bawah Akta Pilihan Raya 1958. RO ialah pegawai yang mengendalikan operasi pilihan raya di sesuatu tempat, daripada pencalonan hingga pengisytiharan pemenang. Seorang RO dilantik untuk setiap kawasan pilihan raya dalam setiap pilihan raya.

SPR kemudiannya mengumumkan tiga tarikh penting, iaitu hari penamaan calon, tempoh kempen, dan hari mengundi, yang lazimnya jatuh pada hari Sabtu atau Ahad di luar hari bekerja. Walaubagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Tempoh kempen bermula dari saat RO mengumumkan senarai calon pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam sebelum hari mengundi, seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Undang-undang menetapkan sekurang-kurangnya 11 hari untuk berkempen, dan secara praktiknya tempoh kempen pilihan raya adalah sekitar 2 minggu, contohnya 15 hari semasa PRU15 pada 2022, dan 11 hari semasa PRU14 pada 2018.

Dalam tempoh kempen, berusahalah untuk memperhalusi manifesto, megikuti liputan berita yang dipercayai, dan meghadiri satu dua ceramah pilihan raya. Apabila jurukempen pilihan raya bertemu dengan anda, tanyakan mereka apa sebenarnya yang mereka rancang untuk anda dan komuniti anda. Inilah masanya untuk anda mengenali calon-calon untuk kawasan anda dan mengetahui lebih lanjut tentang platform politik mereka. Gunakan kesempatan ini untuk behubung dengan orang-orang di sekeliling anda tentang bagaimana mengundi wakil rakyat akan memberi kesan kepada isu-isu yang penting bagi anda.

Bila dan di mana saya mengundi? Apa yang perlu saya bawa?

Di mana dan bila? Pusat mengundi, saluran mengundi, dan cadangan masa mengundi anda semuanya ada di MySPR Semak sebelum hari mengundi. Balai-balai mengundi biasanya beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang di Malaysia Barat, dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Malaysia Timur. Walaubagaimanapun, anda patut menyemak waktu mengundi untuk kawasan ada kerana SPR mempunyai kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihanraya) 1981 untuk mewartakan waktu yang lebih singkat. Penutupan awal adalah perkara biasa di kawasan luar bandar, terpencil, dan pulau, di mana peti undi mesti dialihkan sebelum malam.

Di bawah peraturan 23 mengenari penjalanan pilihan raya, jika anda sudah di dalam pusat mengundi sebelum waktu tutup, anda mesti dibenarkan mengundi. Pintu masuk tidak boleh dikunci jika pengundi tiba tepat pada masanya.

Apa yang perlu dibawa? MyKad anda. Jika anda kehilangannya, SPR menerima alternatif berikut: dokumen pengenalan sementara daripada JPN (Borang JPN.KP09 atau KP11, dikeluarkan apabila anda melaporkan kehilangan MyKad), pasport Malaysia yang sah (termasuk pasport terhad), lesen memandu Malaysia, atau mana-mana kad pengenalan rasmi kerajaan (seperti kad pengenalan tentera atau polis). Periksa tarikh luput jika menggunakan pasport atau lesen memandu. Apa juga dokumen digunakan mestilah yang asal dan fizikal kerana SPR tidak akan menerima salinan fotokopi atau apa-apa jenis pengenalan digital (seperti MyDigital ID, MyJPJ, MyBorderPass, MyNIISe, dsb).

Tiada kod pakaian pilihan raya dan anda tidak boleh dihalang daripada mengundi kerana memakai seluar pendek, skirt, atau selipar. Satu-satunya larangan adalah pakaian yang menampilkan nama, simbol atau logo mana-mana parti atau calon atau perlengkapan politik yang lain.

Apa lagi yang patut di bawa? Barisan di saluran mengundi anda mungkin panjang dan terdedah kepada cuaca, jadi bawa payung dan sebotol air. Pastikan anda tidak memakai, memegang, atau membawa apa-apa yang dicetak dengan nama, lambang atau simbol calon atau parti dalam jarak 50 m dari tempat mengundi kerana ini menjadi kesalahan di bawah seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Anda boleh membawa telefon bimbit anda bersama anda tetapi ia tidak boleh digunakan dalam balai mengundi. Anda mungkin diminta untuk meninggalkannya sementara di tempat yang disediakan mengikut budi bicara pegawai SPR dan mengambil telefon bimbit anda sebelum meninggalkan balai mengundi.

Jikalau boleh, gunakan pengangkutan awam atau kongsi kenderaan dengan pengundi lain untuk menuju ke pusat mengundi anda. Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik ketika waktu keluar mengundi puncak.

Infografik oleh SPR

Apa yang berlaku di balai mengundi?

Pergi ke pusat mengundi seawal yang boleh kerana barisan untuk saluran anda mungkin panjang. Di balai mengundi,

  1. Pengesahan. Serahkan Mykad atau dokumen pengenalan diri anda kepada kerani pengundian yang akan mengesahkan butiran anda. Selepas memastikan anda belum ditanda dakwat kekal dan nama anda belum dipalang dalam daftar pemilih, kerani pengundian membaca nama anda dan nombor kad pengenalan anda dengan kuat. Ini membolehkan ejen tempat mengundi menyemak silang salinan daftar pemilihnya.
  2. Dakwat kekal. Kerani pengundian akan membantu anda mencelup hujung satu jari (sebaik-baiknya jari telunjuk bukan dominan) ke dalam botol dakwat kekal dengan betul untuk menandakan anda telah menjalankan proses membuang undi. Jika anda tiada jari, dakwat kekal boleh disapu di mana-mana bahagian tangan. Dakwat kekal ini akan bertahan beberapa hari dan pudar dengan sendiri selepas tempoh pilihan raya. 
  3. Kertas undi. Kerani pengundian yang lain akan memberikan anda – sama ada anda mengundi untuk parlimen, DUN, atau kedua-duanya  – satu atau dua kertas undi terlipat yang mengandungi nama dan lambang setiap calon yang bertanding di kawasan anda. Periksa kertas undi tersebut: tiada koyakan, kesan kotoran, atau tanda comot, dan setiap satunya hendaklah mempunyai cap rasmi SPR.
  4. Tandakan X. Maju ke petak pengundian dan buka kertas undi anda. Tandakan satu “X” di dalam kotak di sebelah calon pilihan anda menggunakan pen yang disediakan. Tanda berganda, lukisan di luar garisan, atau perkataan bertulis akan menyebabkan kertas undi anda dikira sebagai undi rosak.
  5. Kerahsiaan. Jangan ambil gambar kertas undi anda. Jangan gunakan telefon anda di petak pengundian. Jangan tunjukkan kertas undi yang telah ditanda kepada sesiapa. Melanggar kerahsiaan undi adalah satu kesalahan di bawah seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya.
  6. Peti undi yang betul. Lipat kertas anda dan masukkan setiap satunya ke dalam peti undi yang betul – kertas undi parlimen ke dalam peti yang dilabel “parlimen”, kertas undi DUN ke dalam peti “negeri” – kemudian tinggalkan balai mengundi. Jangan lupa dokumen pengenalan diri dan barangan peribadi anda.

Bagaimana jika saya orang kurang upaya atau memerlukan bantuan untuk membuang undi?

Saluran-saluran mengundi diaturkan supaya Saluran 1 berdekatan pintu masuk pusat mengundi di tingkat bawah, secara amnya untuk warga emas tetapi orang kurang upaya (OKU) berhak mendapat akses tingkat bawah tanpa mengira saluran yang diperuntukan oleh SPR. Pengguna kerusi roda yang ditugaskan ke saluran tingkat atas boleh meminta untuk mengundi di tingkat bawah (menggunakan Borang SPR.765). Dalam pilihan raya baru-baru ini, SPR juga telah memperkenalkan saluran dan kemudahan khusus untuk pengundi kurang upaya.

Jika anda tidak dapat menanda kertas undi sendiri, anda ada dua pilihan: 

  • Anda boleh melengkapkan borang pengisytiharan di hadapan ketua tempat mengundi (KTM) dan membawa seorang warganegara Malaysia yang dipercayai berumur 18 tahun ke atas ke kaunter untuk menandanya atas arahan anda; atau
  • Jika anda tiada pembantu, KTM akan membacakan nama calon, mengambil pilihan anda secara sulit, dan menanda undi bagi pihak anda.

Kumpulan advokasi seperti BolehSpace dan OKU Sentral telah membawa isu-isu seperti pusat mengundi di sekolah lama yang mempunyai tangga curam dan tiada laluan landai, kertas undi tidak tersedia dalam Braille, bahan kempen tanpa tafsiran bahasa isyarat, dan ketiadaan pangkalan data bersepadu SPR untuk pengundi kurang upaya. Mereka berpendapat, menetapkan semua orang ke Saluran 1 adalah pendekatan tangkap muat, bukan langkah kebolehupayaan.

© Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Adakah majikan saya mesti membenarkan saya untuk keluar mengundi?

Di bawah seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, setiap majikan mesti membenarkan setiap pengundi dalam pekerjaan mereka tempoh yang munasabah untuk mengundi pada hari mengundi. Majikan anda tidak boleh menolak gaji anda untuk masa mengundi, memaksa anda menggunakan cuti tahunan untuknya, atau menakut-nakutkan atau mengganggu anda atas hak mengundi anda – melakukan mana-mana perkara itu adalah satu kesalahan jenayah.

Apa yang dikira sebagai “tempoh yang munasabah” tidak ditetapkan kerana ia bergantung pada jarak. Jika pusat mengundi anda berdekatan, tempoh pelepasan kerja beberapa jam atau pelarasan syif secara amnya sudah memadai. Untuk mereka yang mengundi di luar kawasan, majikan dinasihatkan untuk memberikan masa yang fleksibel atau cuti sehari penuh. Apapun caranya, jika anda tinggal di luar kawasan pilihan raya anda, rancang perjalanan awal dan mohon pelepasan kerja dalam masa yang sesuai.

Saya melihat sesuatu yang salah semasa pilihan raya. Kepada siapa saya melaporkannya?

Bergantung pada apa yang anda lihat, terdapat tiga saluran berbeza untuk aduan pilihan raya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, contohnya pemusnahan bahan kempen, ugutan fizikal, atau ucapan kebencian. Buat laporan di balai polis terdekat, dengan apa sahaja bukti fizikal atau digital yang anda ada.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes-kes pembelian undi – wang tunai, hamper makanan, baucar, atau janji dana awam sebagai syarat mendapat undi – di bawah Akta SPRM 2009 dan seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya. Semasa tempoh pilihan raya, SPRM menjalankan bilik gerakan pilihan raya 24 jam di setiap negeri. Anda juga boleh melaporkan melalui laman aduannya, melalui e-mel kepada [email protected], atau di talian hotline di 1-800-88-6000.

Pasukan penguatkuasa SPR, yang ditubuhkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mengendalikan pelanggaran peraturan kempen, contohnya berkempen selepas tarikh akhir, berkempen dalam jarak 50 m dari balai mengundi pada hari mengundi, atau pembesar suara tanpa kebenaran. Aduan boleh dihantar kepada pasukan penguatkuasa pilihan raya daerah yang beroperasi di bawah RO, atau ke hotline ibu pejabat SPR di 03-8892 7000.

Video oleh BFM 89.9

Bagaimana undi dikira? Bagaimana integriti proses pengiraan undi terjamin?

Pengiraan undi bermula selepas pengundian ditutup. Undi awal dan undi pos (iaitu kertas-kertas undi daripada anggota tentera dan polis, petugas pilihan raya, rakyat Malaysia di luar negara, pemberita, dsb) biasanya dikira dahulu.

Early and postal votes (ie ballots from military and police personnel, election officials, overseas Malaysians, journalists, etc) are usually counted first.

Setiap calon boleh melantik diri sendiri atau seorang yang lain sebagai ejen pilihan raya. Ejen pilihan raya boleh melantik ejen-ejen tempat mengundi (polling agents), ejen-ejen mengira undi (counting agents), dan ejen-ejen barung (barung agents) – secara kolektif dikenali sebagai PACABA. Ejen tempat mengundi menyemak daftar pemilih sewaktu kerani pengundian mengesahkan maklumat pengundi dan melaporkan perkara-perkara yang tidak kena ketika proses membuang undi. Ejen pengiraan memerhatikan setiap kertas undi dikira dan memastikan integriti proses pengiraan undi. Ejen barung memerhati dan memastikan kelancaran proses pilihan raya dari luar pusat mengundi.

Semasa proses pengiraan undi, jika undi samar-samar – contohnya tanda semak dan bukannya X, atau tanda yang merentasi garisan antara calon – ejen mengira undi boleh membantah serta-merta kepada KTM yang akan memutuskan. Undi yang ditolak dicop “ragu” atau “ditolak”. Jika bantahan ditolak, undi dicop “bantah tapi diterima” dan diberi nombor siri, mewujudkan jejak kertas.

Apabila pengiraan undi di saluran selesai, jumlahnya dimasukkan ke dalam Borang 14 (penyata pengundian) yang ditandatangani oleh ejen mengira undi, dengan menyimpan salinan karbon. Salinan itu adalah mekanisme integriti. Nombor-nombor dalam penyata pengundian tidak boleh berbeza antara balai mengundi dan pusat penjumlahan undi.

Terdapat juga hak pengiraan semula. Di bawah peraturan 25 mengenai penjalanan pilihan raya, jika margin antara dua calon teratas adalah 4% atau kurang daripada jumlah undi, ejen mengira undi boleh menuntut kiraan semula satu kali untuk saluran tersebut.

Bila dan bagaimana saya tahu siapa yang menang?

Borang 14 yang ditandatangani dihantar dari setiap saluran ke ketua tempat mengundi, kemudian ke pusat penjumlahan rasmi kawasan pilihan raya. RO adalah satu-satunya orang yang diberi kuasa secara sah untuk memuktamadkan kiraan dengan menggabungkan jumlah-jumlah setiap saluran dengan undian awal dan pos, menyemak semula angka-angka tersebut, dan kemudian mengumumkan jumlah undian setiap calon dan mengisytiharkan pemenang.

Anda akan melihat “keputusan tidak rasmi” di televisyen dan media sosial sebelum pengumuman RO itu. Ini kerana pemberita yang melaporkan dari lapangan menyampaikan nombor-nombor Borang 14 ke balai-balai berita dan mereka membuat ramalan pemenang berdasarkan data tersebut. Keputusan rasmi, yang terikat secara undang-undang adalah keputusan yang diterbitkan oleh SPR melalui salurannya sendiri. Selalunya, pengerusi SPR akan mengumumkan jumlah keseluruhan dan statistik pilihan raya dalam satu siaran langsung (cth pengumuman PRU15 dari 2022) dan butiran penuh kerusi demi kerusi yang diterbitkan dalam talian.

Video oleh Astro Awani

Bolehkah keputusan pilihan raya dicabar?

Selepas hari pengundian, petisyen pilihan raya rasmi boleh difailkan di Mahkamah Tinggi yang bersidang sebagai Mahkamah Pilihan Raya. Di bawah seksyen 32 dan 34 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954, calon pengundi di kawasan itu, atau seseorang yang menuntut hak untuk dicalonkan atau dipilih boleh membuat petisyen atas alasan termasuk ketidakpatuhan undang-undang pilihan raya yang menjejaskan keputusan, amalan rasuah seperti rasuah atau ugutan, atau kehilangan kelayakan pemenang.

Petisyen pilihan raya mesti dibuat dalam 21 hari daripada keputusannya diwartakan dan memenuhi keperluan undang-undang yang tepat. Hanya hakim pilihan raya boleh membatalkan keputusan, mengarahkan pengiraan semula seluruh kawasan pilihan raya, atau mengisytiharkan calon lain dipilih dengan sewajarnya.

Glosari

Borang 14 penyata pengundian untuk setiap saluran mengundi

DPT daftar pemilih tambahan

DUN Dewan Undangan Negeri

JPN Jabatan Pendaftaran Negara

KTM ketua tempat mengundi

PACABA ejen tempat mengundi, ejen mengira undi, dan ejen barung yang biasanya mewakili calon-calon pilihan raya

PPSA pendaftaran pemilih secara automatik

PRK pilihan raya kecil

PRN pilihan raya negeri

PRU pilihan raya umum

RO returning officer, pegawai pengurus yang menjalankan pilihan raya di setiap kawasan

Saluran mengundi di mana pengundi bergilir-gilir melaksanakan proses membuang undi

SPR Suruhanjaya Pilihan Raya

Infografik oleh SPR

Bulletin

Subscribe to our email newsletter to receive the latest news and updates from the MCCHR team directly in your inbox.

Malaysian Centre
for Constitutionalism
and Human Rights
Get to know us